12/12/2009

SEJARAH MPPP, KUALA TERENGGANU

(Dipetik dan diubahsuai dari : http://www.angelfire.com/tn/mppp/muka1.html)
Maktab Perguruan Pasir Panjang iaitu sebuah maktab "yang kecil tetapi comel" telah ditubuhkan pada tahun 1958. Pada asal penubuhannya ia dikenali sebagai Pusat Latihan Guru (DTC) Kuala Terengganu, menumpang di Sekolah Rendah Sultan Sulaiman. Kursus yang ditawarkan pada masa itu ialah Kursus Perguruan Sekolah Rendah.
Memandangkan kesukaran menumpang, maka Kementerian Pelajaran membina bangunannya sendiri di jalan Pasir panjang, kira-kira 5 kilometer dari pusat bandar Kuala Terengganu. Pembukaan rasminya dijalankan pada 8.11.1969 oleh Y.A.B. Tun Haji Abdul Razak bin Dato' Hussin, iaitu Timbalan Perdana Menteri Malaysia ketika itu.
Akhibat kelebihan guru dan terdapatnya beberapa masalah lain, beberapa buah Pusat Latihan harian ( DTC ) di Malaysia telah ditutup pada awal tahun 1970 termasuk Pusat Latihan Guru Kuala Terengganu. Pada tahun 1972 ia dibuka semula untuk program khas iaitu "Program Pendidikan Kesihatan", melatih guru-guru terlatih dalam bidang Pendidikan Kesihatan dan Nilai Pemakanan. Namanya diubah menjadi Maktab Perguruan Pendidikan Kesihatan dan Nilai Pemakanan.
Setelah sepuluh tahun Maktab ini mengelolakan Kursus Dalam Perkhidmatan Pendidikan Kesihatan dan Pemakanan, maka pada bulan Januari 1983, kursus ini diberhentikan dan dipindahkan ke Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim, Johor Bahru. Maktab ini kembali kepada fungsi yang asal iaitu melatih guru sekolah rendah dan menengah. Nama maktab ini telah diubah menjadi Maktab Perguruan Pasir Panjang, Kuala Terengganu.
Namun, setelah pembukaan Maktab Perguruan Sultan Mizan, Besut, Terengganu, (sekarang IPGM Kampus Sultan Mizan) MPPP yang penuh dengan kenangan ini telah dijenamakan semula dan kini dikenali sebagai Sekolah Menengah Sains Terengganu.