12/18/2009

Selamat Menyambut Maal Hijrah 1431

Assalamualaikum. Salam Maal Hijrah.
Syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin-Nya, kita masih lagi dipanjangkan usia untuk sekali lagi menyambut tahun baru Islam “Maal Hijrah 1431”. Sebagai orang Islam, maka sewajarnya tahun hijrah ini menjadi sumber kepada kita terutama sekali dalam menghitung berapa usia kita kini sebenarnya. Bagi kawan barangkali sudah mencecah 50 tahun. Sudah tua rupanya. Pada setiap kali tibanya tahun baru, ia memberikan gambaran kepada kita bahawa kita sebenarnya semakin hampir ke penghujung usia. Bukan sekadar tahun, malah setiap saat, minit, jam, hari, minggu dan bulan yang berlalu, “garisan penamat” kian menghampiri kita.
Semoga kita dapat melaksanakan tanggungjawab sebagai hamba dan khalifah di muka bumi ini dengan sebaik mungkin dan diberkati-Nya serta dihitung sebagai amal ibadah di akhirat nanti.
Peristiwa Nabi Muhammad SAW berhijrah kira-kira 1431 tahun lalu, menjadi asas untuk kita merenung betapa roh hijrah baginda bukan sekadar perjalanan semata-mata namun lebih ke arah pembinaan tamadun Islam seluruhnya.
Akhirnya, sambutan Maal Hijrah yang bertemakan "Memantap Ukhuwah Memperkasa Ummah" dapat kita realisasikan dalam diri, keluarga, komuniti masing-masing. Apalah ertinya sambutan ini seandainya kita masih lagi dengan ruitn yang sama tanpa ada sebarang perubahan ke arah kebaikan. Ketahuilah “Garisan Penamat” ada di hadapan kita bukan di belakang. Salah dan silap mohon kemaafan. Jumpa lagi dalam versi 2010.

Sekian, wassalam. Jumpa lagi.
Nordin Besut.
18 Disember 2009 / 1 Muharram 1431H