5/08/2010

Keluarga Dewa

Salam. Bersama-sama ini kawe serta sekeping gambar Dewa bersama keluarganya. Gambar ini dikirim ke HP untuk di uploadkan dalam blog MPPP 1989.
Kepada kawan-kawan lain bila lagi nak send gambar untuk Blog ni... Kalau tak keberatan sila hantar ke emel kawe ataupun ke HP kawe.

Minggu ni kawe sibuk dengan pengurusan Kejohanan Skuasy MSS Terengganu. Daerah Besut yang jadi tuan rumah.
Nota: Maran - harap dapat kirim artikel dan gambar tentang udang di Sarawak.
Jumpa lagi. Wassalam
Nordin Besut.

4/29/2010

Nostalgia Bersama Dewa

Assalamualaikum dan salam 1 Malaysia.
Selepas tamat latihan perguruan di MPPP, masing-masing telah di"posting"kan di merata ceruk negara. Ada yang ke Sabah, ke Sarawak dan ke negeri2 di Semenanjung. Kawe sebenarnya dipostingkan
di Terengganu tetapi pada mulanya bukan di daerah Besut. Kawe dipostingkan di SK Payung Baru, Setiu. Kawe tak pergi sebab SK Payung Baru pada masa tu, merupakan sebuah sekolah yang agak pedalaman di Setiu. Sehingga sekarang kawe tak pernah pergi ke sekolah tu. Setelah diluluskan pertukaran, kawe ditempatkan di SK Kg Raja, Besut. Sebuah sekolah di kampung sendiri.
Sejak itulah perhubungan dengan kawan2 mulai terputus termasuklah dengan sahabat kita Dewa. Nostalgia bersama Dewa bukan sedikit. Selain dalam satu Unit C di MPPP kami juga bersama praktikum di SK Wakaf Tapai. Saudara Dewa juga pernah beberapa kali datang ke rumah kawe di Besut. Selain itu banyak kisah suka duka kami kongsikan bersama. Maklumlah waktu tu kita semua masih muda remaja.
Bersama-sama posting ini kawe sertakan gambar kenangan yang ada dalam simpanan bersama Dewa.
Sekian, jumpa lagi.
Mohd Nordin Hussain
"Ingat 18 Disember, Ingat Reunion"

4/24/2010

Khabar Dari Dewa

Tepat jam 9.09 pagi 24 April 2010, kawe terima panggilan daripada nombor HP yang tidak dikenali. Setelah bertanya khabar, rupa-rupanya di hujung talian suara kawan kita yang telah lama dicari iaitu Dewa Mot. Terkejut bercampur gembira dapat berhubung kawan lama. Maklum saja kenangan bersama Dewa di MPPP dulu bukan sedikit. Banyak memori yang kami kongsikan bersama. Dewa beberapa kali datang ke rumah kawe di Besut terutama semasa cuti semester.
Walaupun kami tinggal di rumah sewa yang berasingan, namun kami selalu bersama terutama ke bandar KT. Tambahan pula, kita sama dalam Unit C dan praktikum di SK Wakaf Tapai, Marang bersama Roni yang belum dikesan di mana berada. Semasa di SK Wakaf Tapai kami sama-sama menyewa di sana.
Dari khabar yang dimaklumkan oleh Dewa, dia mendapat tahu tentang blog MPPP89/91 ni apabila dia berjumpa dengan Maran. Selepas itu, dia terus telefon kawe bagi menyambung kembali persahabatan yang telah lama terputus. Kalau tak silap, Dewa sekarang mempunyai 2 orang anak. Dia mengajar di kampungnya di Perpat. Besarlah harapan agar saudara Dewa dapat menyertai reunion kita nanti. Nombor HP Dewa ada dipaparkan dalam "Saluran Komunikasi"
Sekali lagi terima kasih kepada Blog Master kita saudara Ujang (Murad) yang telah mengusahakan pembinaan blog ini. Semoga selepas ini lebih ramai lagi rakan-rakan MPPP 89/91 dapat dihubungi. Jumpa lagi.
Sekian, terima kasih. Wassalam
M. Nordin Hussain
"Ingat 18 Disember, Ingat Reunion"

4/23/2010

Encik Yusni & Keluarga

Bersama-sama ini kawe uploadkan gambar saudara Yusni Ngah bersama isteri dan dua orang anak mereka untuk tatapan kawan-kawan. Gambar-gambar ini dihantar ke HP kawe. Saudara Yusni memaklumkan bahawa beliau baru saja pulang dari negara China. Hebat kawan kita ni...maklumlah orang politik... semoga karier politik beliau terus bersinar. Insya Allah.
Drp: M. Nordin Hussain,
Besut, Terengganu.

Harapan Ex-YDP Tentang Reunion

Assalamualaikum dan Salam 1 Malaysia.
Apa khabar kawan-kawan yang kini berada di serata pelusuk negara? Kawe harap semuanya dalam keadaan baik dan sihat di sisi keluarga masing-masing. Juga diharapkan agar semuanya sentiasa sukses dalam menjalankan apa jua tugas yang diamanahkan, apa lagi tanggungjawab kita sebagai hamba Allah SWT.
Seawal 8.30 pagi, 23 April 2010 kawe telah menerima panggilan telefon daripada Saudara Mohd Yusni Ngah bekas Yang Dipertua Persatuan Guru Pelatih MPPP 1989/91. Beliau berharap sangat re-union yang dicadangkan akan terlaksana dengan jumlah penyertaan yang seramai mungkin. Saudara Yusni mencadangkan agar kita menghubungi kawan-kawan yang belum mengetahui tentang re-union tersebut. Di samping itu, saudara Yusni mencadangkan agar kawe, Mazlan dan Zaidi menjadi urusetia untuk re-union tersebut. Tentang saudara Zaidi Muda ni, kawe dan Mazlan pun tak tau di mana dia bertugas sekarang. Namun kawe dan Mazlan akan cuba usahakan. Insya Allah, saudara Yusni akan sponsor jamuan makan malam re-union nanti.
Kepada kawan-kawan yang lain harap dapat panjangkan tentang re-union ini kepada semua bekas pelatih MPPP 1989-91. Hubungi kawe melalui e-mel dinskpkb@yahoo.com, HP: 019-9977232 atau melalui Facebook: Mohd Nordin Hussain. Walaupun masa untuk re-union masih jauh, namun persiapan awal perlu dilakukan. Maklum saja kita semua dah agak berumur. Tentu banyak komitmen lain. Perancangan awal amat penting. "Ingat 18 Disember 2010, Ingat Re-Union"
Sekian, jumpa lagi. Wassalam.
Mohd Nordin Hussain
Besut.

4/01/2010

Jumpa Tn. Hj. Othman Ismail

Pada hari Rabu 24 Mac 2010 kawe ada jumpa dengan bekas pensyarah PJ kita dulu iaitu Tuan Haji Othman bin Ismail. Kebetulan beliau datang ke sekolah tempat kawe mengajar untuk menziarahi guru besar yang kurang sihat sekarang. Lalu kawe bawa beliau dan dua orang rakannya ke rumah guru besar.
Beliau telah pencen namun masih sihat dan menetap di Kuala Terengganu. Dulu Tuan Haji Othman bertugas di Institut Perguruan Sultan Mizan, Besut. Kawe selalu jumpa. Tapi selepas beliau pencen jarang jumpa. Kawe tak sempat nak jemput beliau menyertai re-union. Nanti kawe akan call. Kawe sempat bertanya tentang Tn. Hj. Mohd Noor (Tok Guru Pengakap). Tuan Haji Othman berkata Tn. Hj. Mohd Noor sihat dan menetap di Kuala Terengganu juga. Kalau nak jumpa Tn. Hj. Mohd Noor boleh call Tn. Hj. Othman dan beliau akan bawa ke rumah Tn. Hj. Mohd Noor.
Tn. Hj. Othman Ismail boleh dihubungi melalui talian 019-9133382
Sekian.

Nordin: Kawan2 yg ada no HP bekas pensyarah MPPP89 tlg send kpd kawe

3/14/2010

Zaileha & Keluarga


Bersama-sama ini dipubliskan gambar Zaileha dan keluarga. Gambar ini dihantar ke HP kawe. Sori la sebab gambar tak dapat dibesarkan "blur".

Kepada kawan-kawan lain yang ingin publiskan gambar keluarga dalam blog ni, tolong emelkan kepada kawe di alamat: dinskpkb@yahoo.com. Terima kasih.

3/09/2010

Lagi Gambar Maran


Gambar-gambar ini dipetik dari blog saudara Maran. Dia telah beri keizinan agar gambar ini dipublishkan dalam blog MPPP1989/91 untuk tatapan semua rakan.

Gambar semasa
Kejohanan Olahraga Antara Rumah Sukan 2010.
Kami bertugas sebagai AJK Keselamatan.

2/28/2010

Gambar Keluarga Maran




Gambar Keluargaku:
Maran Ak Ramping, Bintangor, Sarawak
Isteri : Doris Empini
Anak-anak : (1) Mariana (tiada dalam gambar), (2) Boniface Codhy, (3) Bryan Ikom dan (4) Freedie Ngabung

2/25/2010

Cita-cita Dan Ceritra

Kalau boleh aku tak mau jadi GURU! .... Itulah kata-kata yang masih terngiang-ngiang di telinga ku. Sebab apa? Arwah bapaku guru, tiga orang lagi bapa saudaraku guru, kakak ku guru dan abang ipar ku juga guru. Semua guru, tak kanlah aku juga nak jadi guru ? Macam tak de keje lain lagi ke haaa ... !!!!
Aku berminat menjadi Pegawai Polis ? Malangnya arwah datuk ku menghalang sebab dia kata keje ni banyak rasuah. Tak pe la ..... Aku cuba-cuba mohon kadet tentera, emak pulak tak beri sebab dia takut anak dia cepat mati kena tembak. Dalam diam-diam aku mohon keje Pegawai Penguatkuasa JPJ. Bapak pulak tak bagi sebab dia kata keje tu banyak makan duit ayam ..... Aaaa Sudahhh ... apa keje aku nak buat ni ?? Aku memang berminat keje berpakaian seragam, tapi bukan Pengawal Keselamatan ya !!
Semasa bapa pulang dari sekolah, dia memberi ku borang untuk diisi. Bila aku menerima borang tu, ku lihat rupanya borang untuk jawatan GURU SANDARAN TIDAK TERLATIH. Aku pun isi la ... tak mau bapa kecewa. Seminggu lepas tu, aku dipanggil temuduga dan pada hari tu juga aku diarah bertugas di SK Salak, sekolah rendah tempat ku belajar dahulu. Masa pantas berlalu, tanpa ku sedari dah 4 tahun jadi cikgu sekolah. La ... rasa syok pulak sebab bulan-bulan masyukkkkkkk

Tahun 1989, aku cuba-cuba mohon maktab. Dek rezeki tu ada, aku dapat masuk maktab, tu la dia Maktab Perguruan Pasir Panjang, KT. Pada Disember 1991, aku menjadi guru terlatih secara rasmi. Tahun 1992 aku berkahwin, isteri aku cikgu juga. Ok la tu ... Bila dah berada bersama keluarga isteri, aku lihat abang ipar, dua kakak ipar dan biras aku pun cikgu. Apo nak di kato .... masuk dalam keluarga guru. La ni bila dah keje kat pejabat tak panggil cikgu lagi dah, panggil ENCIK pulak, atas sikit TUAN.

Tahun 2003 adik mohon KPLI, 2004 menjadi guru dan berkahwin dengan pilihan hati isterinya cikgu juga. Cikgu lagi .... Loteh den ......

Inilah yang dikatakan takdir. Kita tak boleh nak menolaknya. Minat belum pasti menjadi kenyataan. Itulah yang dikatakan kalau keluarga guru, guru la juga. Jodoh tu lain ...


Sembang-sembang petang:
Dpd Zul YB

Salam Takziah Untuk Lym


Al-fatihah.
Kami warga MPPP1989/91 merakamkan ucapan TAKZIAH kepada Puan Halimatus Saadiah bt Rundu di atas "permergian" bonda tercinta pada 24 Februari 2010. Bersabarlah dalam menghadapi saat yang sukar ini. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di sisi roh orang-orang yang soleh. Amin.
Ikhlas Dari: Warga MPPP 1989-91.

2/24/2010

Bual Bicara Dengan Zul YB

Kekawan yang diingati dan dikasihi:

Masih mengenali saya? ZUL@YB la, satu title yang tidak asing lagi diberikan kepada saya oleh senior mahupun junior ketika berada di MPPP KT.

Kekawan sekalian,

Setelah tamat pengajian di MPPP KT pada tahun 1991, saya dipostingkan ke Pahang iaitu di SK (LKTP) Lepar Utara 1, Bandar Pusat Jengka. Tatkala menerima surat tawaran girangnya hati kerana berkhidmat di kawasan Felda yang memang terkenal. Malangnya apabila pergi ke tempat itu, mak datuk....!! terperanjat saya kerana lokasi agak jauh dari Bandar Pusat Jengka iaitu kira-kira 75 KM manakala dari Jerantut kira-kira 90 KM. Kalau dari Kuantan mak datuk nenek....!! lagilah jauh. Bekalan elektrik tidak ada manakala bekalan air 2 hari sekali disalurkan. Cabaran sungguh ... Kawan-kawan masih kenal Anthony Raj - PI 88/90? Saya bersama dia bertugas di sini.

Pada bulan Oktober 1992, saya mendirikan rumahtangga dengan Hashimah Ismail. Semua kenal dia kan !!! Sama-sama EXCO di maktab. Saya EXCO BSOK manakala Shimah EXCO Makanan. Kat maktab bercinta bagai nak ghak. Ini bukan cinta monyet, cinta sejati tau .... Cinta betul-betul ba, bukan cobaan la ............ Tapi ada kekawan tu... putus, melepas dan tewas. Kesiaann... Nasib baik tak terjun Laut Cina Selatan berenang ke S. A. .......... teka la sapa gerangan tu ha ........

Setelah berkahwin, Hashimah mohon bertukar dari Kedah ke Pahang dan ditempatkan di SK (LKTP) Lepar Utara 8. Terpaksalah saya berulang alik dari Lepar 8 ke Lepar 1 setiap hari sejauh 55 KM sehala. Hashimah sama-sama bertugas dengan Herman Harun dan Wak Jeman.

Pada tahun 1993, saya bertukar ke Daerah Jerantut dan ditempatkan di SK Pedah manakala Hashimah ditempatkan di SK Bandar Jerantut. Ramai kawan lama saya temui, tak asing lagi saudara Amin dengan isteri dia Junaina @ Nai, Arwah Pok Ya dan isterinya Salina serta Mat Beragas.

Pada Januari 1997 saya berpindah ke Sepang. Pada ketika itu, area saya pesat membangun terutama dengan pembinaan KLIA diikuti Formula 1. Saya dan isteri ditempatkan di sekolah yang sama iaitu SK. Bandar Baru Salak Tinggi. Untuk pengetahuan kekawan, sepanjang perkhidmatan saya mengajar Tahun 6 iaitu kelas peperiksaan UPSR. Oleh kerana dah lama berada di kelas peperiksaan, nak mengajar kelas tahap 1 bengong dah tak gheti .Tambahan pula saya terlibat sebagai pemeriksa kertas jawapan Bahasa Melayu Penulisan UPSR.

Pada Julai 1997, saya mengikuti Pengajian Luar Kampus @ PJJ dengan UKM, Bangi. Pada Julai 2001 saya berjaya menamatkan pengajian PJJ UKM dan menerima ijazah pada tahun 2002. Pada tahun 2002 juga saya menerima cahayamata yang ke tiga suriru..... Syukur Alhamdullillah. Sesungguhnya tahun 2002 memberi banyak rahmat dan kenangan manis yang sukar untuk dilupakan. Pada tahun 2004 saya menerima tawaran DG 41 dan ditempatkan di sekolah yang sama.

Pada tahun 2005 saya gatal-gatalkan tangan untuk mengisi borang jawatan kosong di Kementerian Pelajaran. Pada bulan Oktober 2005 saya dipanggil untuk sesi temuduga. Pada bulan Februari 2006 saya ditawarkan jawatan Penolong Pengarah di Lembaga Peperiksaan, KPM, Putrajaya. Saya bertugas di sektor yang amat penting dan mencabar.

Tatkala bertugas di LP, satu Malaysia saya telah pergi. Sarawak, bermula Kuching, Sri Aman, Sarikei, Sibu, Bintulu dan Miri saya telah sampai. Di Sri Aman saya sempat berjumpa dengan Lym dan Fuad Augustine. Di Sabah, K. Kinabalu, Kota Belud, Ranau, Kinabatangan, Kunak, Lahad Datu, Semporna, Tawau, Telupid, Sandakan, Papar, Beaufort, Kuala Penyu dan Sipitang pun dah sampai. Di KK saya sempat berjumpa dengan Ghani Ajim dan Awang Jasri ketika mengadakan Taklimat OBK Zon Sabah. Hj. Khairudin pensyarah Moral saya temui di Airport K. Kinabalu ketika sama-sama hendak pulang ke KL. Hj. Mansor Kerma, pensyarah Bahasa saya temui semasa majlis perkahwinan anak buah Shimah di KT pada tahun 2008. Saya jemput dia dan dia datang bersama isterinya. Kini Hj. Mansor bertugas di IPG Batu Rakit. WP. Labuan pun dah beberapa kali saya pergi.

Negeri-negeri di Semenanjung rata dah saya pergi sama ada dengan memandu sendiri ataupun menaiki kapalterbang. Kalau dahulu saya rasa negeri-negeri di Semenanjung jauh, tapi kini saya rasa Semenanjung ni kecil. Pergi JB balik hari je, begitu juga nak ke utara cuma kalau pi ke Terengganu dan Kelantan kena bermalam. Ketika menjalankan tugas luar, beberapa kawan lama saya telah temui seperti Jahidi & Maziah ( di Langkawi ) dan Ujang di Kolo Pilah. Nordin Besut saya temui ketika saya pergi ke Kelantan Disember 2005. Dia pun dah sampai ke rumah saya di Sepang. Mat Sentul saya temui semasa mengendalikan Taklimat OBK Zon Timur di Impiana Resort, Kuantan. Oleh kerana tugasan saya melibatkan semua SPP JPN di Malaysia, maka pagawai-pegawai di Sektor Penilaian & Peperiksaan JPN Negeri merupakan rakan saya.

Yang paling manis sekali ketika bertugas di sini, saya berpeluang menjalankan tugas rasmi ke luar negara beberapa kali sama ada untuk berkursus mahupun menjalankan tugas rutin. Sorry la tempat saya tak boleh nak nyatakan. Pun begitu, pemergian bukan untuk suka-suka tetapi atas dasar tugas, amanah dan tanggung jawab. Tahun 2010 saya masih di LP. Tahun 2011 tak tau lagi mungkin ke bahagian lain di Kementerian Pelajaran atau balik semula ke sekolah kut ....sebab nak dapat DG 44. Post di LP terhad. Tengok la nanti ..... kita cerita kemudian.

La ni saya dan keluarga menetap di Taman Ixora, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang. Hasil perkahwinan selama 18 tahun, saya dikurniakan tiga cahaya mata ketiga-tiga perempuan. Nak tambah x pasti lagi sebab umurpun lanjut dah.

Untuk pengetahuan kekawan, Ustazah Rafeah @ Mama sekarang tinggal di Taman Dahlia, tak jauh dari taman saya. Dia bertugas di IPG Ilmu Khas, KL. Saya dah pi pun umah dia. Dia macam tu la juga ..........

Setakat di sini dahulu bual bicara dari Zul YB untuk tatapan kekawan sebagai berkongsi pengalaman sepanjang menjadi guru. Hasrat nak jadi YB ( Yang Berhormat ) belum kesampaian lagi. Tak tau la 5 ke 10 tahun akan datang. Salam persahabatan dari saya, semoga kita akan berjumpa nanti di Re-Union pada penghujung tahun ini.

Wassalam & Terima kasih.

Ikhlas dari Zul YB utk kawan2. Bye... bye .......
019 6959592, E mail
zulkiflibaharuddin@yahoo.com

2/20/2010

Khabar Dari Kawan Lama.

Pukul 2.57 petang hari Sabtu, 20 Februari 2010, tiba-tiba bunyi SMS masuk ke HP kawe. Belum pernah terima SMS dari nombor telefon ini. Ni tentu kawan-kawan baru atau ada orang salah nombor ataupun SMS yang menyatakan simcard anda dapat hadiah RM10,000.00 (SMS mengarut la tu).
Namun sangkaan kawe jauh meleset. Rupanya sahabat kita yang telah lama tak jumpa. Malah selepas berangkat meninggalkan MPPP dulu, tiada perkhabaran diterima darinya. SMSnya berbunyi macam ni, ”Hello Din, apa khabar? Ni Maran, rakan MPPP dulu.I serve internet tengok website kau orang....sori ganggu. Lama tak jumpa....! Hang sekeluarga apa khabar? Berapa orang anak? Tq”. (Inilah untungnya ada blog, dapat temukan kawan-kawan lama – TQ Ujang)
Begitulah bunyinya SMS dari sahabat kita Maran a/k Ramping. Jadi sempatlah juga kami nerbalas SMS bertanyakan khabar diri masing-masing. Menurut Maran, dia sekarang mengajar di SMK. Meradong, Bintangor, Sarawak. Telah mempunyai 4 orang cahaya mata, seorang perempuan dan tiga orang lelaki. Maran berjanji akan send gambar familinya ke dalam blog ni. Tentang re-union, dia akan fikirkan dan confirm kemudian. Katanya lagi, memang akhir tahun ni dia sekeluarga nak jalan-jalan. Harap-harap Maran dapat join re-union. Kepada kawan-kawan yang nak hubungi Maran bolehlah call ke no:019-8683760.

Sekian.
Nordin, 20.02.10 jam 11.37 malam.

2/19/2010

Asran dan Keluarga

Anak bongsu sempena majlis hari jadi ke-2 tahun.

Bersama Anak ke-3.

Anak ke-2 & ke-3.

Bersama Anak ke-2, ke-3 & Bongsu.

Bersama Rakan di Kedah

Bersama anak pertama, anak ke-3 dan bongsu.

Bersama isteri tersayang, yang baru konvo tahun 2009 di PWTC.

Salam, di sini saya e-mailkan gambar2 utk diuploadkan dlm blog kita. semoga tali persahabatan kita semua bertambah erat. Gambar2 ini diambil di Kota Belud, Kedah dan Kuala Lumpur.
Asran Haji Suin
Sabah.
Nordin: Asran betul ke dah bongsu anak ke-4 tu..... kot-kot bongsu daun keladi.....

2/12/2010

Lagi Khabar Dari Zul YB

Saat Paling Bahagia Ketika Hendak Pulang Ke Tanah Air Setelah Hampir Dua Minggu Berada Di Luar Negara. Gambar Ini Diambil Ketika Berada Di Airport Yang Paling Sibuk Di dunia.

Ketika Berada Salah Sebuah Negara Di Eropah.

Membeli Belah Di Sebuah Kilang Coklat Cadbury Yang Terbesar Dan Terkenal Di Dunia.

Sudut Pemandangan Di Sebuah Bandaraya Kosmopolitan.
Sejuk nya ! Pakai Baju 4 Lapis....

Menerima Sijil Tamat Kursus.

Ketika Menghadiri Kursus Sandaran Logistik.

Nordin: Ni baru betul-betul YB : Yang Berkhidmat.

2/11/2010

Lambaian Ex-MPPP






Khamis 11.2.2010 kawe ke Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Terengganu di Marang, Terengganu. Jadi, semasa balik dari BTPN tu, kawe sempat la singgah di ex-MPPP dan minta kebenaran untuk merakam gambar di persekitarannya untuk kawe paparkan dalam blog ni. Bukannya ape, sekadar menjadi lambaian yang menggamit rakan-rakan di luar sana untuk ber"re-union" yang dicadangkan penghujung tahun nanti. Tapi sori la, sebab gambar dirakamkan guna HP "cap ayam" berresolusi rendah, jadi tak dapat dibesarkan, blur. Nantilah kawe publishkan gambar lain.
Gambar pertama tu mercu tanda baharu di Kuala Terengganu "Masjid Kristal" yang terletak di Taman Tamadun Islam. Gambar kedua berlatarbelakangkan Dewan Besar ex-MPPP. Gambar ketiga bangunan blok pentadbiran manakala gambar keempat, papan tanda di pintu masuk Sek. Men. Sains Kuala Terengganu.
Nota: Kepada kawan2 yang belum lagi menghantar gambar keluarga untuk blog ni, bolehlah berbuat demikian dengan melampirkannya dalam emel kepada: dinskpkb@yahoo.com atau kepada Tuan Haji Aminuddin dan "Blogmaster" kita Ujang. Insya Allah semua gambar yang dihantar kawe akan paparkan di "Saluran Famili" yang bakal diadakan nanti.
Sekian untuk kali, jumpa lagi.
Wassalam.
Nordin. 11.02.2010 Jam 9.25pm

2/10/2010

Untuk Tatapan Rakan-rakan



Lokasi Di Sekitar Pusat Pelancongan Pulau Langkawi


Gambar Bersama Keluarga Angkat Di Jerantut

Salam dari Zul YB dan Shimah serta keluarga. Tiga keping photo untuk tatapan rakan-rakan.

2/09/2010

TEKA TEKI la pulak..


Assalamualaikum:

Kawan-kawan, masih mengenali hamba ?
Hamba bukannya student dari Universiti Otago, NZ. Hamba adalah lepasan Guru Pelatih MPPP yang tersesat ke lokasi ini ketika menjalankan tugas rasmi pada tahun 2006.

Kalian tekalah siapa hamba sebab hamba memang dikenali di MPPP sesi 1989/1991.
Saja hamba hantarkan gambar yang secomel ini untuk tatapan dan dugaan kalian. Tatkala dah tau sms hamba di talian yang tertera dalam bog. ?????????

JANGAN TAK TEKA !!!!!!!!!!!!!!!!! Ini langkah pertama untuk ana terus .............
SelamataMencuba !

2/07/2010

Jangan tak tau.......

Sejarah Orang Tak Tau

Menurut buku yang ditulis oleh R.O. Windstedt nama Pahang pada mulanya ialah Inderapura. Pada suatu ketika Raja negeri Inderapura Makmur Shahbana ketika itu berhasrat menukar nama Inderapura Makmur Shahbana kepada suatu nama yang ringkas dan sedap di dengar. Beliau meminta Bendahara mencadangkan kepada rakyat jelata bahawa beliau akan memberi seuncang emas dan sepersalinan pakaian baru kepada sesiapa yang dapat memberi nama baru yang menarik. Beliau memberi tempoh selama tiga hari untuk orang ramai tampil ke istana mencuba nasib. Pada hari pertama tidak ramai yang datang ke istana. Kalau ada pun seorang dua. Raja Inderapura pula tidak berkenan. Masuk hari kedua jumlah yang datang berkali-kali ganda dari hari pertama namun semua tidak mendapat tempat di hati raja. Pada hari ke tiga datanglah dua orang sahabat karib ke istana ketika hari masih pagi benar. Ketika ditanya apakah nama yang hendak mereka berikan, kedua mereka berlumba-lumba bersuara.

“Hamba cadangkan nama Karma Sari.”
“Hamba pula cadangkan Margapura.”
“Karma Sari lebih molek.”
“Molek lagi Margapura.”
“Pilihlah Karma Sari!”
“Margapura!”
“Karma Sari!”
“Margapura!”
“Karma Sari molek!”
“Molek lagi Margapura!”
“Tengkorak hang!”
“Opah hang!”
“Opah hang!”

“Sudah! Sudah!” Tiba-tiba raja Inderapura mencelah,”Dalam banyak-banyak nama yang kamu sebutkan tadi, Beta amat tertarik dengan nama yang terakir kamu berdua berikan tadi, apa tadi… haaa? Opahang! Ya… opahang! Pahang sedap nama tu mulai hari ini beta namakan negeri ini dengan nama baru iaitu Pahang.” Demikianlah kisahnya.

2/03/2010

Rasulullah Bertaubat 100 Kali Sehari

TAUBAT adalah kembali daripada melakukan maksiat. Orang yang berdosa itu seolah-olahnya meninggalkan Allah dengan tidak taat kepada-Nya dan melanggar perintah-Nya. Maka apabila dia meninggalkan maksiat, seolah-olah dia kembali semula kepada Allah.
Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesungguhnya Allah menerima taubat seorang hamba, selama (nyawanya) belum sampai pada kerongkong.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Rasulullah juga bersabda bermaksud: “Barang siapa bertaubat sebelum matahari terbit dari Barat, nescaya Allah menerima taubatnya.” (Hadis riwayat Muslim)

Perkara ini disebabkan jika matahari terbit dari Barat maka pintu taubat serta-merta ditutup.
As-Salafu Solihu mengetahui nilai taubat, lalu mereka sentiasa melakukan taubat. Perkara ini kerana orang yang berakal apabila memiliki harta yang banyak, kemudian habis tanpa ada faedah yang kembali kepadanya, tentulah dia berasa sesal.

Begitulah umur bagaikan modul untuk membeli nikmat syurga. Alangkah ruginya umur itu hilang begitu saja tanpa bertaubat.
Rasulullah bersabda bermaksud: "Wahai sekalian manusia, bertaubatlah kepada Allah dan memohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya aku bertaubat dalam sehari sebanyak 100 kali." (Hadis riwayat Muslim).
Seorang lelaki bertanya kepada Abdullah bin Mas'ud mengenai dosa yang ditanggungnya, adakah boleh bertaubat.
Abdullah berpaling daripadanya, kemudian menoleh kembali kepada lelaki itu. Dia melihat kedua-dua mata lelaki itu dengan berlinangan air mata, lalu Abdullah berkata: “Syurga itu ada lapan pintu, semuanya dibuka dan ditutup melainkan pintu taubat kerana di situ ada malaikat yang ditugaskan supaya tidak menutupnya. Maka beramallah, jangan kamu berputus asa.”

Lukman Al-Hakim pula berpesan: “Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian daripada rezeki yang kami berikan kepada kamu sebelum seseorang daripada kamu sampai ajal maut kepadanya. (Kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: “Wahai Tuhanku alangkah baiknya kalau engkau lambatkan (kedatangan ajal mati) ku ke suatu masa yang sedikit saja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi daripada orang yang soleh. Dan (ingatlah) Allah tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang (atau sesuatu yang bernyawa) apabila sampai ajalnya, dan Allah amat mendalam pengetahuannya mengenai segala yang kamu kerjakan.”

Orang yang telah dimatikan, semuanya berangan-angan untuk dapat hidup sebentar supaya dia dapat bertaubat dan bersungguh-sungguh melakukan ketaatan, tetapi jauh sekali apa yang mereka inginkan.

Allah memerintahkan supaya kita melakukan taubat seperti firman-Nya bermaksud: “Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah wahai orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” (Surah an-Nur, ayat 31)

Dan Allah menjanjikan menerima taubat serta membuka pintu pengharapan seluas-luasnya. Firman Allah bermaksud: “Katakanlah Muhammad, wahai hamba-hambaku yang melampau (menzalimi) dirinya, janganlah kamu putus asa dari rahmat Allah, sesungguhnya Allah mengampunkan dosa semuanya, sesungguhnya Dia Maha Pengampun dan Maha Mengasihani.” (Surah Az-Zumar, ayat 53)
Allah berfirman maksudnya: “Dan berbuat baiklah, kerana sesungguhnya Allah menyukai (menyintai) orang yang berbuat baik.” (Surah al-Baqarah, ayat 195).
Daripada ayat di atas, jelas bahawa Allah kasih kepada orang yang melakukan kebaikan. Orang yang baik, maknanya akhlak dan tingkah lakunya baik. Dia akan melakukan yang baik-baik saja. Ini kerana dia sedar hidup ini adalah kesempatan untuk mengumpul kebaikan.
Dengan kebaikan itu, maka turunlah rahmat Allah. Sebaliknya, Allah membenci orang yang berperi laku jahat dan berakhlak buruk. Kederhakaan manusia menyebabkan turunnya kemurkaan dan bala daripada Allah. Alangkah bahagianya jika kita mendapat kasih sayang Allah.
Dalam sebuah hadis qudsi, Allah berfirman (bermaksud): “Aku cintakan tiga jenis manusia, tetapi Aku jauh lebih cinta kepada tiga jenis manusia lainnya, iaitu:
Aku cintakan orang yang bersifat pemurah, tetapi Aku lebih cinta lagi orang miskin yang pemurah.Aku cintakan orang yang rendah hati/diri, tetapi Aku lebih cinta orang kaya yang rendah hati.
Aku cintakan orang yang bertaubat, tetapi Aku lebih cinta lagi orang muda yang bertaubat.


M. Nordin Hussain
3 Februari 2010